Rabu, 26 Oktober 2011

Komuniti & Teknologi



KOMUNITI & TEKNOLOGI

PB-2301

TEKNOLOGI PEMBUATAN GULA GELAGAH


PENGKAJI:

MEILISHA BINTI SHAHFRIE (10B1097)

NUR HAFIZAH BINTI HAJI JA'AFAR (10B1157)




PEMASARAN

Pemasaran Gula Gelagah




  • Pemasaran Gula gelagah tidak begitu meluas. Ia hanya dipasarkan di gerai-gerai persendirian, kedai runcit dan pasar borong dengan harga BND 5.00 - BND $10.00. BND 5.00 bagi kontena yang sederhana manakala BND 10.00 bagi kontena yang besar dan tinggi. 

  • Tidak dihasilkan dalam jumlah yang banyak. Lazimnya, gula gelagah yang dihasilkan hanya berjumlah antara 5 hingga 15 kontena sahaja. Ini memperlihatkan pemasaran gula gelagah tidak menjanjikan hasil pendapatan yang menggalakkan.
  • Gula Gelagah hanya diusahakan atau dipasarkan secara persendirian. Setakat ini belum ada syarikat atau kilang yang memasarkan gula gelagah secara besar-besaran.
  • Pembungkusan gula gelagah masih di tahap biasa. Di kedai runcit, kontena yang berisi Gula Gelagah akan diletakkan sebaris dengan bahagian minuman. Kontena tersebut tidak disertakan dengan sebarang perlabelan. 




    Kesimpulan



    Kesimpulan

    Seiring dengan perubahan zaman, teknologi gula gelagah mengalami proses perubahan. Teknologi tradisi gula gelagah yang dibentuk menggunakan sepenuhnya kayu berubah kepada penggunaan logam atau besi sepenuhnya. Teknologi moden gula gelagah(mesin gelagah) langsung tidak mewarisi rekabentuk asal teknologi tradisi gula gelagah (candasan) malahan belibit atau gear seperti yang digelar oleh sesetengah orang tidak dapat dikekalkan coraknya. Berkemungkinan kerana mesin gelagah dibuat oleh negara luar seperti Jepun dan China yang mungkin tidak dapat memahami akan kepentingan nilai sesuatu material atau teknologi melayu menyebabkan nilai ekspresif candasan tidak dikekalkan.



    Sungguhpun teknologi moden membolehkan gula gelagah dihasilkan dengan mudah dan cepat, peranan gula gelagah sebagai barangan kegunaan harian tidak lagi signifikan dalam kehidupan masyarakat Brunei. Atas sebab kesignifikan gula gelagah semakin menghapus maka teknologi tradisi pembuatan gula gelagah turut menerima impaknya. Teknologi tradisi kemudiannya diabadikan di Muzium Teknologi Brunei.  Walaupun begitu, sudah ada ura-ura bahawa ada sebuah kampong yang ingin menghidupkan semula penghasilan gula-gelagah menggunakan teknologi tradisi. Penggunaan teknologi moden pula lebih banyak terarah kepada penghasilan air gelagah. Malahan penggunaannya juga terhad iaitu lebih banyak digunakan semasa bulan Ramadhan. Lama kelamaan teknologi moden gula gelagah juga akan mengalami nasib yang sama seperti teknologi lama kerana akan tiba waktunya air gelagah tidak lagi menjadi rebutan masyarakat Brunei. Teknologi tradisi dan teknologi moden gula gelagah mungkin hanya akan menjadi ristaan masyarakat Brunei di masa akan datang sekiranya pemasaran gula gelagah masih di tahap local  kerana sudah menjadi resmi dunia sesuatu yang bersifat tradisional jika tidak diperbaharui atau dipelbagaikan akan ditenggelamkan oleh arus kemodenan.

    Khamis, 20 Oktober 2011

    TUJUAN DAN OBJEKTIF KAJIAN

    Tujuan:


    Kajian ini bertujuan untuk melihat pembaharuan dalam penghasilan gula gelagah dari segi penggunaan teknologi.

    Objektif kajian:
    Untuk mencapai tujuan di atas beberapa perkara telah dikenalpasti iaitu:

    1. Untuk mengetahui sejarah pembuatan gula gelagah di Negara Brunei Darussalam.

    2. Untuk mengenalpasti sejarah proses pembuatan gula gelagah di Negara Brunei Darussalam.

    3. Untuk mengkaji secara terperinci perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam teknologi pembuatan gula gelagah.

    Proses membuat gula gelagah


    1) Proses menyandas gelagah

    2) Air gelagah ditapis & dituang ke kawah




    3) Proses menanak air gelagah




    Video proses pembuatan











    Sabtu, 15 Oktober 2011

    TEKNOLOGI TAMBAHAN

    Secara umumnya, teknologi tambahan berfungsi untuk membantu dan memudahkan proses pembuatan gula gelagah. Teknologi  yang digunakan  adalah seperti berikut: 



    Parang digunakan untuk membuang daun serta buku gelagah




    • Bekas atau Kontena sebagai alat untuk menyimpan atau menyambut air gelagah.
    • Rawa digunakan untuk menapis hampas tebu.



    • Penapis juga mempunyai peranan yang sama dengan rawa iaitu sebagai alat untuk menapis hampas tebu yang lebih kecil bentuknya.




    • Gegawi berfungsi untuk mengaul air gelagah semasa proses menanak.  
    • Kawah ialah tempat menanak air gelagah.






















    INFORMAN

    Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih diberikan kepada:

    1) Awang Kamis bin Panjang
    2) Dayang Nuriah binti Osman
    3) Awang Rahman bin Haji Badar

    RUJUKAN


    Awang Muhammad Hasanan bin Haji Sallehudin. (2008). Asal Usul Masyarakat Puak Kedayan di Negara Brunei Darussalam. Jurnal Darussalam, bil 8.

    Awang Zahari bin Haji Mohd Noor. (1998). Warisan Budaya: Perusahaan Tradisi (Kumpulan Rencana). Perusahaan membuat gula gelagah (tebu) di Kampong Jerudong. Negara Brunei Darussalam:Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan.

    Lamat Jaafar. April-Jun 1984. Membuat gula asli secara tradisi. Beriga, bil 3

    Norrol Hafizzah Kamis. (2005) Perusahaan gula gelagah: Cabaran dan masa depan. Brunei Darussalam: Universiti Brunei Darussalam.



    MASA DEPAN GULA GELAGAH & CABARAN



    Masa Depan Teknologi Gula Gelagah



    Teknologi tradisi Gula Gelagah boleh dikatakan telah pupus kerana teknologi tersebut tidak lagi dibuat mahupun digunakan. Faktor yang menyebabkan kepupusan teknologi tradisi gula gelagah antaranya ialah faktor kemodenan,  tenaga dan masa.

    Faktor Kemodenan
    Kewujudan teknologi moden yang jauh lebih mudah penggunaannya dan boleh menghasilkan gula gelagah dengan cepat.
    Faktor Tenaga
    Pembinaan teknologi tradisi gula gelagah memerlukan tenaga yang banyak terutamanya semasa proses menebang kayu yang diperlukan untuk membuat candasan.
    Faktor Masa
    Pembuatan candasan memakan masa selama seminggu jika dilakukan sepenuh masa namun bagi kebanyakkan masyarakat Brunei yang bekerja agak sukar mencari masa untuk membuat candasan sepenuh masa.

    Antara sebab-sebab lain yang menghalang pembinaan teknologi lama ialah kerana pembinaan gula gelagah yang menggunakan kayu sepenuhnya. Kayu-kayan di hutan terutamanya kayu khas yang digunakan untuk membina candasan tidak boleh ditebang sesuka hati.


    Untuk menghidupkan semula pembinaan teknologi tradisi gula gelagah mungkin pihak-pihak tertentu perlu campurtangan. Pihak Kerajaan Brunei boleh memasukkan pembuatan candasan ke dalam subjek pertukangan kayu bagi sekolah-sekolah menengah di Brunei yang ada menawarkan subjek tersebut. Sektor swasta juga boleh mengadakan pertandingan merekacipta teknologi pembuatan gula gelagah. Puak Kedayan mungkin dapat mengadakan semula acara tradisi “Makan Tahun” yang akan melibatkan penghasilan gula gelagah menggunakan teknologi tradisi dan acara tersebut diadakan secara besar-besaran.


    Cabaran



    • Di Brunei, mesin gelagah (teknologi moden) dijual dengan harga BND $1,700. Di negara jiran, harga mesin gelagah dijual dengan harga RM $1,400. Harga yang ditawarkan ialah di tahap yang mampu dibiayai (affordable). Sudah tentu masyarakat Brunei memilih cara mudah iaitu menjadi pembeli.
    • Teknologi moden lebih senang digunakan malahan penghasilannya juga lebih cepat dan senang dibawa berbanding dengan teknologi lama yang rumit dari segi pengunaannya dan tidak dapat dibawa kesana kemari.
    • Teknologi moden menjadi pilihan kerana mesin gelagah boleh dikendalikan berdua ataupun perseorangan tidak seperti teknologi tradisi. Manakala teknologi tradisi memerlukan tenaga sekurang-kurangnya empat orang. 

        NILAI SIMBOLIK DAN EKSPRESIF

        Nilai Teknologi Tradisional Gula Gelagah


        Sumber: Perusahaan Tradisi (Kumpulan rencana)


        Nilai simbolik candasan gelagah boleh dilihat dari sudut pantang larang yang dikenakan kepada si pembuat candasan.


        Nilai simbolik candasan gelagah boleh dilihat dari sudut pantang larang yang dikenakan kepada pembuat candasan. Pantang larang dalam membuat candasan ialah orang lain tidak boleh menegur pembuat candasan.  Ini ditakuti perhatian pembuat candasan akan teralih lantas menyebabkan sukatan-sukatan tertentu berubah.  Jika sekiranya hal tersebut terjadi, pembuat candasan terpaksa melakukan proses pembuatan candasan dari awal.  Pantang larang lain yang dikenakan ialah hanya seorang atau dua orang sahaja dibenarkan membuat candasan.  Setiap orang mempunyai kefahaman dan tahap kemahiran yang berbeza mengenai pembuatan candasan oleh itu perbezaan dalam kefahaman dan tahap kemahiran akan menimbulkan masalah.   Atas alasan yang sama jugalah jika ada orang lain yang ingin turut serta namun tidak meyertai proses tersebut dari awal.  Pertambahan tenaga dalam pembuatan candasan akan menyebabkan perbezaan dalam sukatan-sulatan tertentu ini kerana orang kedua tersebut tidak tahu menahu mengenai sukatan-sukatan candasan dari awal.


        Nilai ekspresif pula boleh dilihat dari kualiti sesebuah candasan dan dari pemilihan jenis-jenis kayu yang digunakan.

        Hanya orang yang yang betul-betul berkemahiran sahaja tahu membuat belibit (komponen penting dalam candasan).   Jika corak belibit pada penggiling di tengah tidak bersamaan dengan corak belibit yang ada di penggiling kiri dan kanan mengakibatkan candasan tidak akan berfungsi.  Hal tersebut terjadi kerana belibit yang berada di penggiling tengah merupakan penggerak utama penggiling yang berada di kanan dan kiri. Oleh itu, kualiti sesebuah candasan dinilai melalui pembuatan belibit. Jika candasan tersebut boleh berfungsi atau bergerak itu menandakan, candasan tersebut mempunyai kualiti yang baik.  Manakala dari segi pemilihan jenis-jenis kayu pula kayu yang mempunyai batang yang keras dan berbuku-buku seperti Kulimpapa digunakan.  Tujuannya ialah supaya candasan tersebut tidak pecah apabila digunakan.



        TEKNOLOGI ASAS

        Teknologi Tradisional Untuk Memproses Gula Gelagah




        Dalam pemprosesan gula gelagah terdapat dua teknologi utama iaitu Candasan dan Ka'an (Karan). Candasan berfungsi sebagai alat untuk mengeluarkan atau memerah air gelagah manakala Ka'an (Karan) pula ialah tempat khas untuk memasak (menanak) air gelagah. Kedua-dua teknologi tersebut akan diterangkan dalam bentuk tradisional dan moden.

        Candasan

        (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri dari hasil lawatan ke Muzium Teknologi Melayu pada 8hb Julai 2011)




        Menurut Norrol Hafizzah (2004/2005), candasan adalah merupakan sejenis jentera tradisi yang diperbuat daripada batang kayu yang keras, liat dan tidak mudah pecah apabila digunakan, seperti batang pohon Kulimpapa dan Tahi kakang yang cukup tua. Kulimpapa merupakan jenis kayu yang paling baik untuk membuat candasan. Penggunaan kayu dari jenis yang baik seperti Kulimpapa dapat mengelakkan candasan daripada pecah ketika proses menyandas dilakukan.


        Pembuatan Candasan

        Mesin candasan boleh dibuat sendiri atau dengan pertolongan orang lain (seorang atau dua orang).Bilangan yang membuat candasan tidak ramai kerana dikhuatiri sukatan kayu dan rekabentuk akan berlainan terutama pada bahagian Belibit candasan. Pengecualian dapat dibuat jika orang-orang yang membuat candasan tersebut mempunyai kemahiran dan pemahaman yang sama tentang cara pembuatannya. Membuat candasan memerlukan perkakas seperti kapak, kikir, inchi, timbangan air, gergaji, pahat, pemupuh pahat dan sipatan. Pembuatan candasan mengambil masa selama seminggu jika dilakukan sepenuh masa.


        Candasan ada empat jenis iaitu:
        • Candasan Huit
        • Candasan Tungkul
        • Candasan Gelagah
        • Candasan Penggilingan
        Candasan Gelagah merupakan yang paling besar di antara ketiga-tiga candasan yang disebutkan di atas. Candasan Gelagah digunakan apabila gula gelagah diperlukan dalam jumlah yang banyak. Sebagai contoh dalam acara 'Makan Tahun.'

        Keperluan gula gelagah untuk kegunaan persendirian boleh dihasilkan dengan menggunakan Candasan Tungkul dan Candasan Huit.

        Bagaimana teknologi tradisional gula gelagah berfungsi?

        Sebelum memulakan proses mencandas (menggunakan candasan gelagah) belibit akan disapukan dengan lemak kerbau atau lembu terlebih dahulu supaya pusingan gilingan tersebut licin. Empat orang akan duduk bersebelahan dengan gilingan tersebut. Dua orang akan memasukkan gelagah kearah gilingan dan dua orang lagi akan menarik sepahnya. Air yang diperolehi akan mengalir ke sebuah tajau yang ditempatkan dibawah candasan. Kebiasaannya untuk memenuhkan satu tajau tersebut memerlukan masa selama 40 hingga 50 minit itupun berpandukan kepada kelajuan candasan tersebut berpusing. Lebih laju candasan tersebut berpusing maka lebih sedikitlah masa yang diperlukan. Setelah tajau tersebut penuh, air gelagah tadi akan dituang ke sebuah kawah untuk dimasak.


        Mesin Gelagah ( Candasan Gelagah versi moden)

        Candasan gelagah versi moden diperbuat daripada besi/logam sepenuhnya. Pengkaji dimaklumkan bahawa Brunei tidak membuat candasan moden tersebut sebaliknya hanya sebagai pembeli sahaja. Pembuat atau pengeluar candasan moden ialah negara-negara seperti Jepun dan China.

        (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)


        Bagaimana teknologi moden gula gelagah berfungsi?
        • Generator yang menggunakan minyak petrol terlebih dahulu
        • Setelah itu, penggiling akan berpusing sendiri
        • Tebu akan dimasukkan kearah penggiling dan kemudian tebu yang telah diperah airnya akan ditarik oleh individu kedua.
        • Air gelagah kemudian disambut dengan penyambut air gelagah yang kemudiannya menyalurkan terus air gelagah kepada kontena plastik yang telah dilapisi Rawa (kain penapis berwarna putih) terlebih dahulu. Di atas Rawa akan ada 2 lagi penapis yang berbentuk kecil dan besar. Tujuan Rawa dan 2 dua penapis tersebut adalah untuk menapis hampas-hampas tebu.

        Kenapa perlu ada 3 bentuk penapis?



        (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)



          (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)



        Penapis yang berbentuk kecil dan besar ialah untuk menapis hampas tebu yang lebih kecil bentuknya. Hampas tebu yang lebih kecil mungkin tidak dapat ditapis oleh Rawa kerana lubang rawa berbentuk besar sedikit daripada penapis kecil dan besar.



        Ka’an Tradisonal


        (Sumber: diambil oleh pengkaji sendiri dari hasil lawatan ke Muzium Teknologi Melayu pada 8hb Julai 2011)





        Ka’an atau Karan ialah sebuah tempat yang direka khas untuk memasak air gelagah. Proses memasak air gelagah dinamakan proses menanak. Ka’an dibina daripada tanah yang berbukit atau pun busut yang terpilih. Ka’an merupakan satu kawasan tanah yang dibentuk menjadi satu kawasan tanah yang berbentuk seperti bukit (tinggi sedikit). Di depan kawasan tanah yang tinggi tersebut akan dibuat lubang sebagai tempat pembakaran kayu dan di kawasan atas tanah tinggi tersebut akan dibuat lubang untuk diletakkan kawah. Untuk menyiapkan Ka’an memgambil masa selama dua atau tiga hari (Zahari, 1981). Bahan bakar iaitu kayu yang sering digunakan dalam proses menanak ialah seperti ‘kulimpapa’, ‘piasau-piasau’, ‘tampui’, ‘jurung’ dan sebagainya kerana kayu-kayu tersebut menghasilkan suhu yang lebih panas berbanding kayu-kayu lain (Lamat Jaafar, 1984).



        Ka’an Moden




        Ka'an Moden





        (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)






        Ka’an moden menggunakan tambak gas seperti yang boleh dilihat pada gambar. Kawah digunakan apabila air gelagah di dalam jumlah yang banyak. Tambak dapur biasa dan periuk biasa boleh digunakan jika air gelagah dalam jumlah yang sedikit. Semasa proses menanak, penutup kawah tidak digunakan kerana penutup kawah akan melambatkan lagi proses perubahan air gelagah kepada gula gelagah. Ini kerana wap-wap yang terkumpul akan membentuk semula menjadi air.