Sabtu, 15 Oktober 2011

TEKNOLOGI ASAS

Teknologi Tradisional Untuk Memproses Gula Gelagah




Dalam pemprosesan gula gelagah terdapat dua teknologi utama iaitu Candasan dan Ka'an (Karan). Candasan berfungsi sebagai alat untuk mengeluarkan atau memerah air gelagah manakala Ka'an (Karan) pula ialah tempat khas untuk memasak (menanak) air gelagah. Kedua-dua teknologi tersebut akan diterangkan dalam bentuk tradisional dan moden.

Candasan

(Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri dari hasil lawatan ke Muzium Teknologi Melayu pada 8hb Julai 2011)




Menurut Norrol Hafizzah (2004/2005), candasan adalah merupakan sejenis jentera tradisi yang diperbuat daripada batang kayu yang keras, liat dan tidak mudah pecah apabila digunakan, seperti batang pohon Kulimpapa dan Tahi kakang yang cukup tua. Kulimpapa merupakan jenis kayu yang paling baik untuk membuat candasan. Penggunaan kayu dari jenis yang baik seperti Kulimpapa dapat mengelakkan candasan daripada pecah ketika proses menyandas dilakukan.


Pembuatan Candasan

Mesin candasan boleh dibuat sendiri atau dengan pertolongan orang lain (seorang atau dua orang).Bilangan yang membuat candasan tidak ramai kerana dikhuatiri sukatan kayu dan rekabentuk akan berlainan terutama pada bahagian Belibit candasan. Pengecualian dapat dibuat jika orang-orang yang membuat candasan tersebut mempunyai kemahiran dan pemahaman yang sama tentang cara pembuatannya. Membuat candasan memerlukan perkakas seperti kapak, kikir, inchi, timbangan air, gergaji, pahat, pemupuh pahat dan sipatan. Pembuatan candasan mengambil masa selama seminggu jika dilakukan sepenuh masa.


Candasan ada empat jenis iaitu:
  • Candasan Huit
  • Candasan Tungkul
  • Candasan Gelagah
  • Candasan Penggilingan
Candasan Gelagah merupakan yang paling besar di antara ketiga-tiga candasan yang disebutkan di atas. Candasan Gelagah digunakan apabila gula gelagah diperlukan dalam jumlah yang banyak. Sebagai contoh dalam acara 'Makan Tahun.'

Keperluan gula gelagah untuk kegunaan persendirian boleh dihasilkan dengan menggunakan Candasan Tungkul dan Candasan Huit.

Bagaimana teknologi tradisional gula gelagah berfungsi?

Sebelum memulakan proses mencandas (menggunakan candasan gelagah) belibit akan disapukan dengan lemak kerbau atau lembu terlebih dahulu supaya pusingan gilingan tersebut licin. Empat orang akan duduk bersebelahan dengan gilingan tersebut. Dua orang akan memasukkan gelagah kearah gilingan dan dua orang lagi akan menarik sepahnya. Air yang diperolehi akan mengalir ke sebuah tajau yang ditempatkan dibawah candasan. Kebiasaannya untuk memenuhkan satu tajau tersebut memerlukan masa selama 40 hingga 50 minit itupun berpandukan kepada kelajuan candasan tersebut berpusing. Lebih laju candasan tersebut berpusing maka lebih sedikitlah masa yang diperlukan. Setelah tajau tersebut penuh, air gelagah tadi akan dituang ke sebuah kawah untuk dimasak.


Mesin Gelagah ( Candasan Gelagah versi moden)

Candasan gelagah versi moden diperbuat daripada besi/logam sepenuhnya. Pengkaji dimaklumkan bahawa Brunei tidak membuat candasan moden tersebut sebaliknya hanya sebagai pembeli sahaja. Pembuat atau pengeluar candasan moden ialah negara-negara seperti Jepun dan China.

(Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)


Bagaimana teknologi moden gula gelagah berfungsi?
  • Generator yang menggunakan minyak petrol terlebih dahulu
  • Setelah itu, penggiling akan berpusing sendiri
  • Tebu akan dimasukkan kearah penggiling dan kemudian tebu yang telah diperah airnya akan ditarik oleh individu kedua.
  • Air gelagah kemudian disambut dengan penyambut air gelagah yang kemudiannya menyalurkan terus air gelagah kepada kontena plastik yang telah dilapisi Rawa (kain penapis berwarna putih) terlebih dahulu. Di atas Rawa akan ada 2 lagi penapis yang berbentuk kecil dan besar. Tujuan Rawa dan 2 dua penapis tersebut adalah untuk menapis hampas-hampas tebu.

Kenapa perlu ada 3 bentuk penapis?



(Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)



    (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)



Penapis yang berbentuk kecil dan besar ialah untuk menapis hampas tebu yang lebih kecil bentuknya. Hampas tebu yang lebih kecil mungkin tidak dapat ditapis oleh Rawa kerana lubang rawa berbentuk besar sedikit daripada penapis kecil dan besar.



Ka’an Tradisonal


(Sumber: diambil oleh pengkaji sendiri dari hasil lawatan ke Muzium Teknologi Melayu pada 8hb Julai 2011)





Ka’an atau Karan ialah sebuah tempat yang direka khas untuk memasak air gelagah. Proses memasak air gelagah dinamakan proses menanak. Ka’an dibina daripada tanah yang berbukit atau pun busut yang terpilih. Ka’an merupakan satu kawasan tanah yang dibentuk menjadi satu kawasan tanah yang berbentuk seperti bukit (tinggi sedikit). Di depan kawasan tanah yang tinggi tersebut akan dibuat lubang sebagai tempat pembakaran kayu dan di kawasan atas tanah tinggi tersebut akan dibuat lubang untuk diletakkan kawah. Untuk menyiapkan Ka’an memgambil masa selama dua atau tiga hari (Zahari, 1981). Bahan bakar iaitu kayu yang sering digunakan dalam proses menanak ialah seperti ‘kulimpapa’, ‘piasau-piasau’, ‘tampui’, ‘jurung’ dan sebagainya kerana kayu-kayu tersebut menghasilkan suhu yang lebih panas berbanding kayu-kayu lain (Lamat Jaafar, 1984).



Ka’an Moden




Ka'an Moden





(Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)






Ka’an moden menggunakan tambak gas seperti yang boleh dilihat pada gambar. Kawah digunakan apabila air gelagah di dalam jumlah yang banyak. Tambak dapur biasa dan periuk biasa boleh digunakan jika air gelagah dalam jumlah yang sedikit. Semasa proses menanak, penutup kawah tidak digunakan kerana penutup kawah akan melambatkan lagi proses perubahan air gelagah kepada gula gelagah. Ini kerana wap-wap yang terkumpul akan membentuk semula menjadi air.









1 ulasan:

  1. salam, napa kamu inda ambil Hj Kahan dari kampung Jerudong??n ada kamu rujuk senior punya kajian pasal gula gelagah ni?my intake @ ur senior ada buat kajian pasal gula gelagah ni n manage to get A.

    BalasPadam