Sabtu, 15 Oktober 2011

SEJARAH TEKNOLOGI PEMBUATAN GULA GELAGAH

Gula Gelagah




Puak Kedayan telah mencipta sebuah alat untuk menghasilkan Gula Gelagah yang suatu ketika dahulu merupakan bahan pemanis harian masyarakat Brunei. Alat tersebut terhasil daripada perkembangan pemikiran, kemahiran, kreativiti dan keadaan kehidupan yang serba-serbinya kekurangan ketika itu hingga mendorong puak tersebut menciptakan sesuatu untuk menghasilkan sesuatu yang dikehendaki (Noor Hafizah, 2005). 



Menurut Lamat Jaafar (1984), gula gelagah iaitu gula tradisional masyarakat Brunei yang dipercayai mula dijadikan sebagai bahan utama membuat kuih-muih tradisi Brunei sebelum meletusnya perang dunia kedua. Kuih-muih seperti penyaram, cincin, wajid dan sebagainya memerlukan gula gelagah sebagai perasa. Gula gelagah merupakan sejenis cecair yang bewarna kekuning-kuningan. Namun, gula gelagah juga boleh bewarna coklat kehitam-hitaman dan kemerah-merahan. Gula gelagah yang bewarna kekuningan merupakan adalah gula yang baik mutunya manakala gula gelagah yang bewarna coklat kehitaman pula adalah gula yang terlalu ’tua’. 


Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa gula gelagah berasal dari Jawa dan dipraktikkan oleh puak Kedayan setelah mereka menetap di Brunei. Kenyataan ini mungkin ada benarnya kerana tradisi lisan mengenai puak Kedayan menyatakan puak Kedayan yang amat mahir dalam bidang pertanian berasal dari Jawa. Sultan Bolkiah telah membawa orang-orang Jawa (puak Kedayan) ke Brunei kerana memikirkan Brunei ketika itu agak ketinggalan dalam penghasilan sumber pertanian. Di Brunei, orang-orang Kedayan disinggahkan di kawasan Pasir Jerudong dan membuat perkampungan disana. Dari sinilah bermulanya sejarah orang Kedayan dengan pembukaan ladang pertanian khususnya tanaman padi. Untuk menguatkan lagi pendapat ini, pengkaji Barat seperti Victor T.King mengatakan mesin dan teknik yang digunakan untuk memerah dan menghasilkan air gelagah bagi masyarakat Maloh yang menetap di sepanjang Sungai Embaloh, Leboyan dan Palin, Kalimantan Barat, Indonesia menyerupai langkah-langkah dan teknik yang digunakan oleh puak Kedayan di Brunei.


Teknologi pembuatan gula gelagah cukup sinonim dengan puak Kedayan hingga boleh dikatakan teknologi tersebut ialah identiti puak Kedayan kerana sebelum itu tidak ada puak-puak lain di Brunei yang boleh menghasilkan teknologi seperti itu.  Berkemungkinan hanya selepas penciptaan teknologi pembuatan gula gelagah baharulah timbul teknologi pembuatan gula gelagah yang telah diubasuai mengikut jenis kegunaan (persendirian atau besar-besaran). Pembuatan teknologi Candasan dan Ka’an sangatlah rumit sehingga orang-orang tertentu sahaja boleh melakukannya. Kerumitan pembuatan teknologi pembuatan gula gelagah itulah yang melambangkan ketinggian tamadun yang dibawa oleh puak Kedayan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan