Sabtu, 15 Oktober 2011

TEKNOLOGI TAMBAHAN

Secara umumnya, teknologi tambahan berfungsi untuk membantu dan memudahkan proses pembuatan gula gelagah. Teknologi  yang digunakan  adalah seperti berikut: 



Parang digunakan untuk membuang daun serta buku gelagah




  • Bekas atau Kontena sebagai alat untuk menyimpan atau menyambut air gelagah.
  • Rawa digunakan untuk menapis hampas tebu.



  • Penapis juga mempunyai peranan yang sama dengan rawa iaitu sebagai alat untuk menapis hampas tebu yang lebih kecil bentuknya.




  • Gegawi berfungsi untuk mengaul air gelagah semasa proses menanak.  
  • Kawah ialah tempat menanak air gelagah.






















INFORMAN

Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih diberikan kepada:

1) Awang Kamis bin Panjang
2) Dayang Nuriah binti Osman
3) Awang Rahman bin Haji Badar

RUJUKAN


Awang Muhammad Hasanan bin Haji Sallehudin. (2008). Asal Usul Masyarakat Puak Kedayan di Negara Brunei Darussalam. Jurnal Darussalam, bil 8.

Awang Zahari bin Haji Mohd Noor. (1998). Warisan Budaya: Perusahaan Tradisi (Kumpulan Rencana). Perusahaan membuat gula gelagah (tebu) di Kampong Jerudong. Negara Brunei Darussalam:Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan.

Lamat Jaafar. April-Jun 1984. Membuat gula asli secara tradisi. Beriga, bil 3

Norrol Hafizzah Kamis. (2005) Perusahaan gula gelagah: Cabaran dan masa depan. Brunei Darussalam: Universiti Brunei Darussalam.



MASA DEPAN GULA GELAGAH & CABARAN



Masa Depan Teknologi Gula Gelagah



Teknologi tradisi Gula Gelagah boleh dikatakan telah pupus kerana teknologi tersebut tidak lagi dibuat mahupun digunakan. Faktor yang menyebabkan kepupusan teknologi tradisi gula gelagah antaranya ialah faktor kemodenan,  tenaga dan masa.

Faktor Kemodenan
Kewujudan teknologi moden yang jauh lebih mudah penggunaannya dan boleh menghasilkan gula gelagah dengan cepat.
Faktor Tenaga
Pembinaan teknologi tradisi gula gelagah memerlukan tenaga yang banyak terutamanya semasa proses menebang kayu yang diperlukan untuk membuat candasan.
Faktor Masa
Pembuatan candasan memakan masa selama seminggu jika dilakukan sepenuh masa namun bagi kebanyakkan masyarakat Brunei yang bekerja agak sukar mencari masa untuk membuat candasan sepenuh masa.

Antara sebab-sebab lain yang menghalang pembinaan teknologi lama ialah kerana pembinaan gula gelagah yang menggunakan kayu sepenuhnya. Kayu-kayan di hutan terutamanya kayu khas yang digunakan untuk membina candasan tidak boleh ditebang sesuka hati.


Untuk menghidupkan semula pembinaan teknologi tradisi gula gelagah mungkin pihak-pihak tertentu perlu campurtangan. Pihak Kerajaan Brunei boleh memasukkan pembuatan candasan ke dalam subjek pertukangan kayu bagi sekolah-sekolah menengah di Brunei yang ada menawarkan subjek tersebut. Sektor swasta juga boleh mengadakan pertandingan merekacipta teknologi pembuatan gula gelagah. Puak Kedayan mungkin dapat mengadakan semula acara tradisi “Makan Tahun” yang akan melibatkan penghasilan gula gelagah menggunakan teknologi tradisi dan acara tersebut diadakan secara besar-besaran.


Cabaran



  • Di Brunei, mesin gelagah (teknologi moden) dijual dengan harga BND $1,700. Di negara jiran, harga mesin gelagah dijual dengan harga RM $1,400. Harga yang ditawarkan ialah di tahap yang mampu dibiayai (affordable). Sudah tentu masyarakat Brunei memilih cara mudah iaitu menjadi pembeli.
  • Teknologi moden lebih senang digunakan malahan penghasilannya juga lebih cepat dan senang dibawa berbanding dengan teknologi lama yang rumit dari segi pengunaannya dan tidak dapat dibawa kesana kemari.
  • Teknologi moden menjadi pilihan kerana mesin gelagah boleh dikendalikan berdua ataupun perseorangan tidak seperti teknologi tradisi. Manakala teknologi tradisi memerlukan tenaga sekurang-kurangnya empat orang. 

      NILAI SIMBOLIK DAN EKSPRESIF

      Nilai Teknologi Tradisional Gula Gelagah


      Sumber: Perusahaan Tradisi (Kumpulan rencana)


      Nilai simbolik candasan gelagah boleh dilihat dari sudut pantang larang yang dikenakan kepada si pembuat candasan.


      Nilai simbolik candasan gelagah boleh dilihat dari sudut pantang larang yang dikenakan kepada pembuat candasan. Pantang larang dalam membuat candasan ialah orang lain tidak boleh menegur pembuat candasan.  Ini ditakuti perhatian pembuat candasan akan teralih lantas menyebabkan sukatan-sukatan tertentu berubah.  Jika sekiranya hal tersebut terjadi, pembuat candasan terpaksa melakukan proses pembuatan candasan dari awal.  Pantang larang lain yang dikenakan ialah hanya seorang atau dua orang sahaja dibenarkan membuat candasan.  Setiap orang mempunyai kefahaman dan tahap kemahiran yang berbeza mengenai pembuatan candasan oleh itu perbezaan dalam kefahaman dan tahap kemahiran akan menimbulkan masalah.   Atas alasan yang sama jugalah jika ada orang lain yang ingin turut serta namun tidak meyertai proses tersebut dari awal.  Pertambahan tenaga dalam pembuatan candasan akan menyebabkan perbezaan dalam sukatan-sulatan tertentu ini kerana orang kedua tersebut tidak tahu menahu mengenai sukatan-sukatan candasan dari awal.


      Nilai ekspresif pula boleh dilihat dari kualiti sesebuah candasan dan dari pemilihan jenis-jenis kayu yang digunakan.

      Hanya orang yang yang betul-betul berkemahiran sahaja tahu membuat belibit (komponen penting dalam candasan).   Jika corak belibit pada penggiling di tengah tidak bersamaan dengan corak belibit yang ada di penggiling kiri dan kanan mengakibatkan candasan tidak akan berfungsi.  Hal tersebut terjadi kerana belibit yang berada di penggiling tengah merupakan penggerak utama penggiling yang berada di kanan dan kiri. Oleh itu, kualiti sesebuah candasan dinilai melalui pembuatan belibit. Jika candasan tersebut boleh berfungsi atau bergerak itu menandakan, candasan tersebut mempunyai kualiti yang baik.  Manakala dari segi pemilihan jenis-jenis kayu pula kayu yang mempunyai batang yang keras dan berbuku-buku seperti Kulimpapa digunakan.  Tujuannya ialah supaya candasan tersebut tidak pecah apabila digunakan.



      TEKNOLOGI ASAS

      Teknologi Tradisional Untuk Memproses Gula Gelagah




      Dalam pemprosesan gula gelagah terdapat dua teknologi utama iaitu Candasan dan Ka'an (Karan). Candasan berfungsi sebagai alat untuk mengeluarkan atau memerah air gelagah manakala Ka'an (Karan) pula ialah tempat khas untuk memasak (menanak) air gelagah. Kedua-dua teknologi tersebut akan diterangkan dalam bentuk tradisional dan moden.

      Candasan

      (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri dari hasil lawatan ke Muzium Teknologi Melayu pada 8hb Julai 2011)




      Menurut Norrol Hafizzah (2004/2005), candasan adalah merupakan sejenis jentera tradisi yang diperbuat daripada batang kayu yang keras, liat dan tidak mudah pecah apabila digunakan, seperti batang pohon Kulimpapa dan Tahi kakang yang cukup tua. Kulimpapa merupakan jenis kayu yang paling baik untuk membuat candasan. Penggunaan kayu dari jenis yang baik seperti Kulimpapa dapat mengelakkan candasan daripada pecah ketika proses menyandas dilakukan.


      Pembuatan Candasan

      Mesin candasan boleh dibuat sendiri atau dengan pertolongan orang lain (seorang atau dua orang).Bilangan yang membuat candasan tidak ramai kerana dikhuatiri sukatan kayu dan rekabentuk akan berlainan terutama pada bahagian Belibit candasan. Pengecualian dapat dibuat jika orang-orang yang membuat candasan tersebut mempunyai kemahiran dan pemahaman yang sama tentang cara pembuatannya. Membuat candasan memerlukan perkakas seperti kapak, kikir, inchi, timbangan air, gergaji, pahat, pemupuh pahat dan sipatan. Pembuatan candasan mengambil masa selama seminggu jika dilakukan sepenuh masa.


      Candasan ada empat jenis iaitu:
      • Candasan Huit
      • Candasan Tungkul
      • Candasan Gelagah
      • Candasan Penggilingan
      Candasan Gelagah merupakan yang paling besar di antara ketiga-tiga candasan yang disebutkan di atas. Candasan Gelagah digunakan apabila gula gelagah diperlukan dalam jumlah yang banyak. Sebagai contoh dalam acara 'Makan Tahun.'

      Keperluan gula gelagah untuk kegunaan persendirian boleh dihasilkan dengan menggunakan Candasan Tungkul dan Candasan Huit.

      Bagaimana teknologi tradisional gula gelagah berfungsi?

      Sebelum memulakan proses mencandas (menggunakan candasan gelagah) belibit akan disapukan dengan lemak kerbau atau lembu terlebih dahulu supaya pusingan gilingan tersebut licin. Empat orang akan duduk bersebelahan dengan gilingan tersebut. Dua orang akan memasukkan gelagah kearah gilingan dan dua orang lagi akan menarik sepahnya. Air yang diperolehi akan mengalir ke sebuah tajau yang ditempatkan dibawah candasan. Kebiasaannya untuk memenuhkan satu tajau tersebut memerlukan masa selama 40 hingga 50 minit itupun berpandukan kepada kelajuan candasan tersebut berpusing. Lebih laju candasan tersebut berpusing maka lebih sedikitlah masa yang diperlukan. Setelah tajau tersebut penuh, air gelagah tadi akan dituang ke sebuah kawah untuk dimasak.


      Mesin Gelagah ( Candasan Gelagah versi moden)

      Candasan gelagah versi moden diperbuat daripada besi/logam sepenuhnya. Pengkaji dimaklumkan bahawa Brunei tidak membuat candasan moden tersebut sebaliknya hanya sebagai pembeli sahaja. Pembuat atau pengeluar candasan moden ialah negara-negara seperti Jepun dan China.

      (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)


      Bagaimana teknologi moden gula gelagah berfungsi?
      • Generator yang menggunakan minyak petrol terlebih dahulu
      • Setelah itu, penggiling akan berpusing sendiri
      • Tebu akan dimasukkan kearah penggiling dan kemudian tebu yang telah diperah airnya akan ditarik oleh individu kedua.
      • Air gelagah kemudian disambut dengan penyambut air gelagah yang kemudiannya menyalurkan terus air gelagah kepada kontena plastik yang telah dilapisi Rawa (kain penapis berwarna putih) terlebih dahulu. Di atas Rawa akan ada 2 lagi penapis yang berbentuk kecil dan besar. Tujuan Rawa dan 2 dua penapis tersebut adalah untuk menapis hampas-hampas tebu.

      Kenapa perlu ada 3 bentuk penapis?



      (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)



        (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)



      Penapis yang berbentuk kecil dan besar ialah untuk menapis hampas tebu yang lebih kecil bentuknya. Hampas tebu yang lebih kecil mungkin tidak dapat ditapis oleh Rawa kerana lubang rawa berbentuk besar sedikit daripada penapis kecil dan besar.



      Ka’an Tradisonal


      (Sumber: diambil oleh pengkaji sendiri dari hasil lawatan ke Muzium Teknologi Melayu pada 8hb Julai 2011)





      Ka’an atau Karan ialah sebuah tempat yang direka khas untuk memasak air gelagah. Proses memasak air gelagah dinamakan proses menanak. Ka’an dibina daripada tanah yang berbukit atau pun busut yang terpilih. Ka’an merupakan satu kawasan tanah yang dibentuk menjadi satu kawasan tanah yang berbentuk seperti bukit (tinggi sedikit). Di depan kawasan tanah yang tinggi tersebut akan dibuat lubang sebagai tempat pembakaran kayu dan di kawasan atas tanah tinggi tersebut akan dibuat lubang untuk diletakkan kawah. Untuk menyiapkan Ka’an memgambil masa selama dua atau tiga hari (Zahari, 1981). Bahan bakar iaitu kayu yang sering digunakan dalam proses menanak ialah seperti ‘kulimpapa’, ‘piasau-piasau’, ‘tampui’, ‘jurung’ dan sebagainya kerana kayu-kayu tersebut menghasilkan suhu yang lebih panas berbanding kayu-kayu lain (Lamat Jaafar, 1984).



      Ka’an Moden




      Ka'an Moden





      (Sumber: Diambil oleh pengkaji sendiri pada 9hb September 2011)






      Ka’an moden menggunakan tambak gas seperti yang boleh dilihat pada gambar. Kawah digunakan apabila air gelagah di dalam jumlah yang banyak. Tambak dapur biasa dan periuk biasa boleh digunakan jika air gelagah dalam jumlah yang sedikit. Semasa proses menanak, penutup kawah tidak digunakan kerana penutup kawah akan melambatkan lagi proses perubahan air gelagah kepada gula gelagah. Ini kerana wap-wap yang terkumpul akan membentuk semula menjadi air.









      SEJARAH TEKNOLOGI PEMBUATAN GULA GELAGAH

      Gula Gelagah




      Puak Kedayan telah mencipta sebuah alat untuk menghasilkan Gula Gelagah yang suatu ketika dahulu merupakan bahan pemanis harian masyarakat Brunei. Alat tersebut terhasil daripada perkembangan pemikiran, kemahiran, kreativiti dan keadaan kehidupan yang serba-serbinya kekurangan ketika itu hingga mendorong puak tersebut menciptakan sesuatu untuk menghasilkan sesuatu yang dikehendaki (Noor Hafizah, 2005). 



      Menurut Lamat Jaafar (1984), gula gelagah iaitu gula tradisional masyarakat Brunei yang dipercayai mula dijadikan sebagai bahan utama membuat kuih-muih tradisi Brunei sebelum meletusnya perang dunia kedua. Kuih-muih seperti penyaram, cincin, wajid dan sebagainya memerlukan gula gelagah sebagai perasa. Gula gelagah merupakan sejenis cecair yang bewarna kekuning-kuningan. Namun, gula gelagah juga boleh bewarna coklat kehitam-hitaman dan kemerah-merahan. Gula gelagah yang bewarna kekuningan merupakan adalah gula yang baik mutunya manakala gula gelagah yang bewarna coklat kehitaman pula adalah gula yang terlalu ’tua’. 


      Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa gula gelagah berasal dari Jawa dan dipraktikkan oleh puak Kedayan setelah mereka menetap di Brunei. Kenyataan ini mungkin ada benarnya kerana tradisi lisan mengenai puak Kedayan menyatakan puak Kedayan yang amat mahir dalam bidang pertanian berasal dari Jawa. Sultan Bolkiah telah membawa orang-orang Jawa (puak Kedayan) ke Brunei kerana memikirkan Brunei ketika itu agak ketinggalan dalam penghasilan sumber pertanian. Di Brunei, orang-orang Kedayan disinggahkan di kawasan Pasir Jerudong dan membuat perkampungan disana. Dari sinilah bermulanya sejarah orang Kedayan dengan pembukaan ladang pertanian khususnya tanaman padi. Untuk menguatkan lagi pendapat ini, pengkaji Barat seperti Victor T.King mengatakan mesin dan teknik yang digunakan untuk memerah dan menghasilkan air gelagah bagi masyarakat Maloh yang menetap di sepanjang Sungai Embaloh, Leboyan dan Palin, Kalimantan Barat, Indonesia menyerupai langkah-langkah dan teknik yang digunakan oleh puak Kedayan di Brunei.


      Teknologi pembuatan gula gelagah cukup sinonim dengan puak Kedayan hingga boleh dikatakan teknologi tersebut ialah identiti puak Kedayan kerana sebelum itu tidak ada puak-puak lain di Brunei yang boleh menghasilkan teknologi seperti itu.  Berkemungkinan hanya selepas penciptaan teknologi pembuatan gula gelagah baharulah timbul teknologi pembuatan gula gelagah yang telah diubasuai mengikut jenis kegunaan (persendirian atau besar-besaran). Pembuatan teknologi Candasan dan Ka’an sangatlah rumit sehingga orang-orang tertentu sahaja boleh melakukannya. Kerumitan pembuatan teknologi pembuatan gula gelagah itulah yang melambangkan ketinggian tamadun yang dibawa oleh puak Kedayan.